Dari Abu Hurairah r.a. katanya:
“Bertanya orang banyak kepada
Rasulullah s.a.w: “Apakah kami akan melihat Zat Allah di hari kiamat kelak ya
Rasulullah?” Jawab baginda: “Apakah kamu terhalang memandang bulan purnama
raya?” Jawab mereka itu: “Tidak!”. Berkata pula Rasulullah s.a.w: “Adakah kamu
sukar melihat matahari ketika tidak awan menutupinya?” Jawab mereka itu: “Tidak
tuan!” Maka berkata Rasulullah s.a.w: “Demikianlah jelasnya kamu akan dapat melihat
Allah kelak.”
Kemudian Rasulullah s.a.w meneruskan
perkataannya, kata beliau:
“Pada hari kiamat nanti Allah akan
mengumpulkan semua manusia lalu bertitah: “Hendaklah tiap-tiap orang mengikut
siapa/apa yang disembahnya didunia.” Mendengar itu maka penyembah matahari
mengikut matahari, penyembah bulan mengikut bulan, pemuja thoghut mengikut
thoghut dan di dalam rombongan mu’min (yang belum bergerak) terdapat pula kaum
munafiq.
Kemudian Allah Taala datang kepada mereka
itu dengan wajah yang tidak dikenal, lalu berkata:
“Aku Tuhanmu.” Maka jawab
mukminin: “Kami berlindung kepada Allah dari godaanmu! Kami tidak akan bergerak
dari sini sebelum datang Tuhan kami yang sejati, dan apabila Ia datang kepada
kami, dapat kami mengenalNya.”
Setelah itu Allah Taala datang kepada
mereka dengan rupaNya yang dikenal oleh orang-orang Mukmin itu, lalu berkata:
“Aku Tuhanmu”. Maka dijawab
kaum mukmin: “Benar, Engkaulah Tuhan kami, mereka itupun segera mengikutNya.”
Berkata pula Rasulullah s.a.w “Nun disana di atas api neraka dibentangkan
titian, maka umatkulah yang pertama menyeberang titian itu. Pada saat itu tak
seorang pun dibenarkan berbicara kecuali Rasul-Rasul pesuruh Allah; seruan
Rasul-Rasul ketika itu: Oh Tuhan! selamatkanlah, selamatkanlah!”
Ditengah-tengah api neraka itu terdapat
banyak besi-besi melengkung seperti lengkung pancing, seperti duri sa’dan. Kata
Rasulullah s.a.w kepada sahabat-sahabat yang hadir:
“Adakah kamu pernah melihat
sa’dan?”
Jawab mereka:
“Ya!” “Seperti duri sa’dan
itulah bentuk besi-besi itu, hanya saja besarnya tidak terkira, dan itu kelak
yang akan mengait manusia yang sedang meniti, menurut imbangan dosa
masing-masing. Yang beriman akan terlepas dari kaitannya dan yang berdosa,
terkena , tetapi akhirnya dilepaskan.”
Setelah Allah selesai mengadili
hamba-hambaNya dan berkehendak dan mengeluarkan penghuni neraka dengan
rahmatNya, dititahkanNya kepada malaikat-malaikat untuk mengeluarkan mereka
yang diberiNya rahmat, kerana di dunia mereka tidak menyekutukan Allah dengan
sesuatu apa pun. Malaikat-malaikat yang mendapat perintah itu pun dapat
mengenal orang-orang yang berkata “tiada
tuhan yang disembah kecuali Allah” dengan adanya bekas sujud
sembahyang yang memang tidak dimakan api neraka.
Kemudian segeralah Malaikat-malaikat itu
mengeluarkan mereka dalam keadaan hangus rentung, kemudian dituangkan ketubuh
masing-masing air hidup, maka tumbuhlah masing-masing kerana air itu seperti
tumbuhnya jenis biji setelah banjir surut.
Setelah hal itu selesai seluruhnya, rupanya
disana masih tinggal seorang lelaki yang menghadap mukanya ke neraka dialah
yang terakhir sekali masuk ke dalam syurga. Kepada Allah ia bermohon dengan
bersungguh-sungguh agar mukanya dapat dipalingkan dari api neraka itu, dengan
alasan bau dan nyalaannya telah menghancur luluhkan dirinya. Demikianlah
permohonan itu berkali-kali diulangnya.
Kemudian Allah berkata kepadanya:
“Kalau Aku kabulkan
permintaan ini apakah tak ada permohonan yang lain lagi?”
Jawab orang itu:
“Tidak!”
dan ia berjanji keras kepada Allah bahawa
ia tidak akan meminta sesuatu apapun lagi. Permohonan orang itu pun dikabulkan
Allah Taala. Setelah terlihat olehnya kemewahan syurga, terdiamlah ia beberapa
lama.
Kemudian ia bermohon lagi kepada Allah agar
dapat disampaikan ke pintu syurga itu, Berkata Allah kepadanya:
“Bukankah engkau telah
berjanji keras tak akan meminta apa-apa lagi? Celaka anak Adam ini! Alangkah
pemungkirnya!”
Maka orang itupun bermohon kedua kalinya
kepada Allah serta berjanji pula tak akan menambah permohonannya lagi.
Setelah permohonan orang itu dikabulkan
Allah dan terlihatnya kemewahan syurga, terdiamlah ia beberapa lama. Kemudian
ia bermohon kepada Allah magar dapat disampaikan ke pintu syurga. Setelah ia
tiba di sana terbukalah pintu syurga itu selebar-lebarnya, dan dilihatnya
segala kenikmatan dan kegembiraan, kemewahan yang ada di dalamnya. Dia
tercengang takjub dan tak dapat berkata-kata. Kemudian ia bermohon pula ketiga
kalinya agar dapat dimasukkan ke dalamnya, seraya berjanji seperti janji yang
lampau. “Alangkah pemungkirnya kamu hai anak Adam!” kata Allah Taala kepadanya.
Jawabnya: “Oh Tuhan! jangan kiranya hamba ini menjadi orang-orang yang celaka.”
Demikianlah permohonan itu diulang-ulang, akhirnya tertawalah Allah Taala
seraya bertitah: “Masuklah engkau ke dalam syurga ini!”
Maka apabila masuk ke dalamnya ,
bertitahlah Allah:
“Sekarang dapatlah engkau
mencita-citakan apa saja keinginanmu!”
Orang itupun segera bermohon berbagai-bagai
permintaan dan mencita-cita bermacam-macam kenikmatan sehingga Allah Taala
memperingatkannya kepada soal-soal yang tertentu dari kenikmatan yang tak
diketahuinya. Akhirnya apabila orang itu telah merasa puas, berkatalah Allah
Taala kepadanya:
“Nikmatilah kemewahan yang
telah ada ini, bahkan akan ditambah lagi dengan berbagai nikmat sebanyak itu
pula. (Hadith
Sahih Riwayat Imam Muslim)
Dalam hadith lain diceritakan:
Abdullah bin Mas’ud r.a katanya: Rasulullah
s.a.w bersabda:
Sesungguhnya aku benar-benar
tahu ahli Neraka yang terakhir keluar dari sana dan ahli Syurga yang terakhir
masuk ke Syurga iaitu seseorang yang keluar dari Neraka secara merangkak lalu
Allah Taala berfirman kepadanya: Pergilah, masuklah ke dalam Syurga, maka dia
pun mendatangi Syurga, tetapi terlintas di fikirannya bahawa Syurga itu telah
pun dipenuhi. Oleh itu dia kembali dan berkata: Wahai Tuhanku, aku telah temui
Syurga itu namun ianya telah penuh. Allah Taala berfirman: Pergilah, masuklah
ke dalam Syurga, maka dia pun mendatangi Syurga, tetapi terlintas di fikirannya
bahawa Syurga itu telah dipenuhi lalu kembali semula dan berkata: Wahai Tuhanku,
aku telah temui Syurga itu tetapi ianya telah penuh. Allah berfirman: Pergilah,
masuklah ke dalam Syurga kerana sesungguhnya ianya untukmu seumpama dunia dan
sepuluh kali gandanya atau sesungguhnya ianya bagimu sepuluh kali ganda dunia.
Lelaki itu berkata: Adakah Engkau mengejekku atau mempermain-mainkan aku,
kerana Engkau adalah Maharaja? Maka Abdullah bin Mas’ud berkata: Aku
benar-benar melihat Rasulullah s.a.w tertawa sehingga ternampak gigi geraham
baginda dan dikatakan: Itulah Ahli Syurga yang paling rendah kedudukannya. (Hadith Sahih Riwayat Imam Muslim)
Sumber: http://www.syahirul.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan