1. Ucapkan kata-kata sayang terutama di kala dia sedih
Anak-anak
perlu mendengar ucapan kasih sayang ini lebih-lebih lagi sekiranya
mereka sedang mengalami masalah atau kemurungan. Contohnya, apabila
berlaku sesuatu kejadian di sekolah yang menyusahkan hatinya. Pada
saat-saat duka seperti ini, dia perlu tahu yang anda sentiasa di sisinya
untuk memberi sokongan kepadanya.
2. Tunjukkan yang anda gembira apabila berjumpa dengannya
Serlahkan
wajah riang ketika menyambut anak anda pulang dari sekolah, umpamanya.
Tunjukkan keceriaan bila anda pulang dari bercuti ataupun dari pejabat.
Katakan yang anda merinduinya.
3. Perhati dan akui perkara-perkara baik yang dilakukannya
Ibubapa
selalunya bertujuan baik apabila menegur kesilapan atau kesalahan yang
dilakukan oleh anak-anak mereka, kerana berharap anak-anak tidak akan
mengulangi kesalahan itu lagi. Tetapi teguran-teguran ini mengecewakan
anak-anak apabila ibubapa tidak nampak dan tidak memuji perkara-perkara
baik yang mereka lakukan.
Anak-anak akan berasa kurang bersemangat
dan mungkin akan cenderung melakukan perkara-perkara yang buruk hanya
untuk menarik perhatian ibubapa. Apabila memuji anak anda, berikanlah
kata-kata pujian yang khusus dan jelas serta ikhlas kepada mereka.
Sebagai contoh, “Mama gembira sebab Lan mahu berkongsi biskut coklat cip
ini dengan nenek” atau “Rajin anak Papa menyimpan semula buku-buku itu
setelah dibaca” atau “Papa seronok tengok Liza melukis dan bermain
dengan adik.”
4. Dengarkan kata-katanya
Apabila
anak bersuara dan ingin memberitahu anda sesuatu perkara, tumpukanlah
perhatian dan dengarlah apa yang ingin dikatakannya itu. Lihat wajahnya
dan hindari diri daripada menyampuk sehingga dia selesai bercakap.
Mendengar bukanlah sekadar mendengar dan mengangguk sahaja.
Satu
cara untuk menunjukkan kepada anak yang anda betul-betul mendengar apa
yang dikatakannya adalah dengan bertanya soalan seperti “Jadi Faris
ambil pen kamu tanpa kebenaran kamu?” Mendengar tidak bermakna anda
mesti bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh anak anda. Tetapi dengan
mendengar, anda boleh membantu anak anda meluahkan isi hatinya serta
membuatkannya berasa lega dan tenteram kerana anda mengambil berat di
atas kesejahteraannya.
Anak anda akan berfikir, “Mama/Papa
mengambil berat terhadap diri saya, jadi saya tak perlu bimbang.” Anak
anda perlukan keselesaan emosi seperti ini. Kadangkala anak anda
perlukan anda mendengar pengakuannya. Ini berlaku kerana mungkin dia
merasakan yang dia telah melakukan satu kesalahan dan kesalahan ini
membuatkan dia berasa resah gelisah. Sekiranya ini terjadi, kawal diri
daripada memarahinya. Sebaliknya, pujilah dia kerana bersikap jujur dan
berani berbincang dengan anda. Dia perlu tahu yang anda tidak memandang
rendah kepadanya hanya kerana dia telah melakukan kesalahan. Ini
bermakna, walaupun dia telah melakukan kesilapan, anda masih
menganggapnya istimewa.
5. Luangkan masa untuk melakukan apa yang diingininya
Kanak-kanak
mengaitkan kasih sayang dengan perbuatan. Lebih-lebih lagi kanak-kanak
kecil, mereka tidak begitu tahu untuk menjelaskan ungkapan ini, tetapi
mereka tahu apa itu kasih sayang. Bagi kanak-kanak, kasih sayang adalah
apa yang dialami dan dirasainya atau apa yang dilihatnya dilakukan oleh
orang lain.
Apa yang anak anda mahu lakukan bersama anda? Menanam
pokok bawang untuk projek Sainsnya ataupun membaca sebuah buku cerita
bersama-sama atau membaca satu kisah lucu dan ketawa bersama-sama?
Mungkin juga membuat dinosaur kertas mengikut model yang terdapat dalam
buku origami yang anda baru belikan untuknya atau membuat kentang putar
untuk makan malam nanti.
Apa pun yang anda lakukan bersamanya,
biarlah dia yang memilih aktivitinya dan jika anda tidak boleh
melakukannya serta-merta, tetapkanlah tarikh dan masa yang sesuai untuk
anda dan juga untuk dirinya. Aktiviti-aktiviti ini boleh dirancang
terlebih dahulu tetapi boleh juga dilakukan secara spontan.
Perkara-perkara kecil yang anda lakukan bersama akan meninggalkan kesan
mendalam di hati dan perasaan anda berdua.
6. Tunjukkan minat terhadap apa yang diusahakannya
Kanak-kanak
gemar menunjukkan kepada kita apa yang sedang mereka lakukan. Sebagai
contoh, jika anak anda yang berusia sembilan tahun sedang menyiapkan
dua keping lukisan yang berlainan dan bertanya kepada anda lukisan mana
satu yang anda lebih suka, dekati anak anda dan amatilah kedua-dua
lukisan dengan penuh minat. Katakan sesuatu yang khusus seperti, “Yang
ini lagi cantik sebab Ana melukis pokok dan daunnya dengan jelas.
Warnanya pun lebih terang.”
Elakkan daripada menjawab secara acuh
tak acuh, “Papa tengok sama saja kedua-dua lukisan tu.” Ataupun
sekiranya anda sedang melihat anak belasan tahun anda bermain badminton,
anda boleh memujinya dengan berkata, “Pukulan Ina sekarang semakin baik
dan lebih bertenaga.”
Ataupun sekiranya dia meminta pendapat anda
mengenai karangan yang sedang ditulisnya, anda boleh berkata, “Bahagian
pengenalan karangan yang Zul tulis tu memang bagus.” Anda mungkin
berfikir yang kata-kata pujian akan membuatkan diri anak terlampau
berpuas hati dengan dirinya sendiri dan tidak lagi mahu berusaha. Tetapi
tiada apa yang lebih memotivasikan seorang anak selain daripada
kata-kata perangsang daripada ibubapanya. Tidak kira dalam keadaan
apa pun atau apa pun yang sedang dilakukan oleh anak anda, carilah
perkara yang elok dan betul dan berikanlah puji-pujian. Anak anda akan
menghargai kata-kata pujian itu dan akan berasa gembira.
sumber : http://www.iluvislam.com/keluarga/ibu-bapa/5965-6-cara-mudah-membuat-anak-rasa-disayangi.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan