Kelebihan Memberi Makan Kepada Orang Yang Berpuasa
Hadith :
Daripada
Zaid bin Khalid al-Juhhani r.a,. daripada Nabi SAW sabdanya, “Sesiapa
yang memberi makan (berbuka) kepada orang yang berpuasa, ia akan
mendapat pahala seperti orang yang berpuasa itu dan pahala orang yang
berpuasa itu tidak berkurangan walau sedikitpun”.
(At-Tirmidzi)
Puasa Sunat, Sembahyang Sunat, Dibulan Yang Dimuliakan
Hadith :
Daripada
Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Puasa yang
lebih utama selepas Ramadhan ialah puasa di dalam bulan Allah yang
dimuliakan iaitu bulan Muharram. Manakala sembahyang sunat yang afdhal
selepas sembahyang fardhu ialah sembahyang sunat di waktu malam
(terutama di malam bulan Ramadhan)
(Muslim)
Puasa lidah
Hadith :
Daripada
Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Apabila
seseorang kamu berpuasa, janganlah ia bercakap perkara-perkara yang
kotor dan sia-sia, dilarang juga bertengkar dan memaki hamun. Apabila ia
dimaki hamun oleh seseorang atau pun diajak bermusuhan maka hendaklah
ia berkata, “Sesungguhnya aku berpuasa hari ini”
(al-Bukhari dan Muslim)
Orang-orang Yang Berhak Menerima Zakat
Hadith :
Dari
Abu Hurairah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Orang fakir
miskin (yang sangat menderita) bukanlah orang yang (menadah tangan)
meminta- minta ke sana ke mari kepada orang ramai, yang apabila ia
mendapat sesuap atau dua suap makanan, atau mendapat sebiji atau dua
biji buah kurma – ia akan pergi ke tempat lain meminta lagi. Sebenarnya
orang fakir miskin (yang sangat-sangat menderita) itu ialah orang yang
tidak mempunyai sesuatu yang mencukupi sara hidupnya. Dan ia pula malu
hendak meminta bantuan kepada orang ramai, dan orang ramai pula tidak
mengetahui keadaan penderitaannya untuk diberi bantuan.( orang inilah
yang sebenarnya layak diberi zakat)”
(Imam Ahmad)
Puasa Yang Berkat
Hadith :
Rasulullah
s.a.w bersabda yang maksudnya: “Berapa banyak orang yang berpuasa
tetapi dia tidak mendapat apa-apa dari puasanya kecuali hanya lapar dan
dahaga.”
Riwayat Ibnu Majah
Bersifat Pemurah Dibulan Ramadhan
Hadith :
“Daripada
Ibnu Abbas r.a. katanya, bahawa Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang
sangat pemurah kepada orang lain, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan
ketika baginda didatangi oleh jibril a.s. Jibril datang berjumpa baginda
pada setiap malam lalu mengajar al-Quran kepada Baginda. Sesungguhnya
Baginda bersifat pemurah dengan bersegera melakukan kebaikan umpama
angin yang bertiup kencang.”
(al-Bukhari dan Muslim)
Hidupkan Malam Ramadhan Dengan Qiamullail
Hadith :
Dari
Abu Hurairah r.a berkata: “Adalah Rasulullah SAW menggalakkan
qiyamullail (solat malam) di bulan Ramadhan tanpa memerintahkan secara
wajib, baginda bersabda: “Sesiapa yang solat malam di bulan Ramadhan
kerana beriman dan mengharapkan pahala daripada Allah, maka diampuni
baginya dosa yang telah lalu.”
Puasa Penyelamat Dari Api Neraka
Hadith :
Daripada
Abu Said al-Khudri r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidak
seorang pun daripada hamba Allah yang berpuasa sahari dengan niat kerana
Allah, melainkan akan Allah jauhkan mukanya daripada kepanasan api
neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun lamanya.”
(al-Bukhari dan muslim)
Sunat Berbuka Dengan Kurma
Hadith :
Daripada
Salman bin Amir Addabbi Assohaabi r.a. daripada Nabi s.a.w. bersabda:
“Jika seseorang kamu berbuka, hendaklah ia berbuka dengan buah kurma.
Sekiranya buah kurma tiada, bolehlah ia berbuka dengan air kosong.
Sesungguhnya air itu bersih lagi suci”.
(Abu Daud dan at-Tirmidzi)
Beriman Kepada Malaikat
Hadith :
Nabi
s.a.w bersabda: "Sesungguhnya ada bagi Allah beberapa Malaikat yang
berjalan di merata-rata bumi untuk menyampaikan salam kepadaku dari
sesiapa di antara umatku yang memberi salam kepadaku, sekalipun jauh
negeri orang itu dan tempat tinggalnya.
Abdillah bin Masud r.a
Selawat
Hadith :
Rasulullah
s.a.w bersabda: "Sesiapa yang berselawat kepadaku dengan sesuatu
selawat, sentiasalah Malaikat berdoa untuknya selama ia berselawat
kepadaku; oleh itu terpulanglah kepada seseorang sama ada ia hendak
berselawat sedikit atau banyak."
Amir bin Rabiah r.a
Tebusan Orang Islam
Hadith :
Dari
Abu Musa r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Kelak di hari kiamat,
Allah Taala mendorong setiap Yahudi atau Nasrani ke hadapan setiap orang
Islam lalu firman-Nya:”Inilah tebusanmu dari api neraka.”
(Muslim)
Sebab Dilarang Melakukan Perbuatan Keji
Hadith :
Dari
Abdullah r.a Rasulullah s.a.w bersabda.”Tidak ada yang lebih suka
dipuji selain dari Allah S.W.T. Kerana itu Dia memuji diri-Nya sendiri.
Dan tidak ada yang lebih cemburu daripada Allah. Kerana itulah dia
melarang segala yang keji.”
(Muslim)
Solat Jenazah Di Dalam Masjid
Hadith :
Dari
Abu Salamah bin Abdur Rahman r.a katanya:”Ketika Saad bin Abi Waqqas
wafat, Aisyah berkata:”Bawalah jenazah itu ke adalam masjid supaya aku
dapat mensolatkannya . Permintaan Aisyah itu diingkari oleh banyak
orang. Lalu berkata Aisyah:”Demi Allah, Rasulullah s.a.w pernah solat
jenazah dalam masjid untuk dua orang putera Baidha’ iaitu Suhail dan
saudaranya.”
(Muslim)
Solat Sambil Duduk
Hadith :
Daripada
Abdullah bin Syaqiq r.a bahawasanya dia bertanya kepada Aisyah r.a,
katanya:”Adakah nabi s.a.w solat sambil duduk?” Jawab Aisyah:”Ada! Iaitu
di hari-hari tua baginda.”
(Muslim)
Sedekah Yang Ditolak
Hadith :
Dari
Ibnu ‘Umar r.a katanya:”Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:”Tidak
diterima solat seseorang tanpa suci dan tidak diterima sedekah yang
berasal daripada kejahatan (seperti mencuri, menipu, menggelapkan wang,
merompak, judi dan sebagainya)”
(Muslim)
Dada Rasulullah S.a.w Dibelah
Hadith :
Dari
Anas bin Malik r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Aku dibawa orang
(Jibril a.s) ke telaga zamzam; di sana dadaku dibelah kemudian
dibersihkan dengan air zamzam, sesudah itu aku dihantarkannya kembali ke
tempatku semula.”
(Muslim)
Cara Solat Rasulullah s.a.w
Hadith :
Dari
Abu Hurairah r.a katanya:”Apabila rasulullah s.a.w berdiri untuk rakaat
kedua baginda terus membaca Fatihah tanpa diam terlebih dahulu
sebentar.”
(Muslim)
Zakat Dan Rasulullah s.a.w
Hadith :
Dari
Abu Hurairah r.a katanya:”Pada suatu waktu, ketika Hasan bin Ali masih
kecil, dia pernah mengambil kurma dari tompokan kurma sedekah (zakat),
lalu diletakkannya ke mulutnya. Maka bersabda Rasulullah s.a.w,:”Jijik,
jijik, buang! Tidak tahukah kamu bahawa kita (keluarga Muhammad) tidak
boleh memakan sedekah (zakat)?”
(Muslim)
Jangan Kedekut @ Tamak!
Hadith :
Asma’
r.a menerangkan bahawasanya Rasulullah SAW bersabda (kepada Asma):
“Nafkahkanlah dan janganlah kamu menyempitkan sedekah yang menyebabkan
Allah menyempitkan (tidak mengeluarkannya) untuk kamu.” Dan janganlah
kamu menyembunyikan sesuatu dalam bungkusan yang kerananya Allah
memutuskan berkatnya dan kesuburannya.”
(al-Bukhari dan Muslim)
Bahagianya Di Alam Syurga
Hadith :
Dari
Anas bin Malik r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Di dalam syurga
terdapat sebuah pasar yang didatangi penduduk syurga setiap hari Jumaat.
Angin bertiup dari sebelah kanan menyentuh muka dan pakaian mereka,
menyebabkan muka dan pakaiannya bertambah cantik, tampan dan indah.
Ketika mereka pulang ke rumah didapatinya isteri mereka bertambah cantik
dan indah. Kata mereka kepada isterinya, “Engkau sungguh-sungguh tambah
cantik dan pakaianmu tambah indah sepeninggalanku.” Jawab isterinya,
“Engkau demi Allah sungguh tambah tampan dan pakaianmu tambah indah pula
sekembalimu.”
(Muslim)
Menafikan Asal Keturunan Suatu Pendustaan
Hadith :
Dari
Wasilah bin Aqsa’ r. a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:’Sesungguhnya
termasuk dusta yang amat besar bahawa seseorang menamakan dirinya bukan
keturunan ayahnya atau mengaku melihat apa yang tidak dilihatnya atau
mengatakan sabda Rasulullah s.a.w padahal beliau tidak bersabda begitu.”
(al-Bukhari)
Cara Memandikan Jenazah
Hadith :
Ummu
Athiyah r.a mengatakan bahawa ketika para wanita memandikan puteri
Rasulullah yang meninggal, Rasulullah bersabda kepada mereka:”Mulailah
dengan bahagian kanan dan anggota wudhu’nya.”
(al-Bukhari)
Makmum Tidak Menanggung Dosa Imam
Hadith :
Diriwayatkan
daripada Abu Hurairah r.a bahawa rasulullah s.a.w bersabda:”Mereka
solat menjadi imam solat bagimu. Maka jika mereka betul, dia dan kamu
akan mendapat pahala. Tetapi jika ia salah, kamu tetap mendapat pahala
sedangkan mereka berdosa.”
(al-Bukhari)
Siksa Kubur Itu Benar!
Hadith :
Dari
Abu Ayyub r.a katanya:”Rasulullah s.a.w pernah keluar rumah sebelum
Maghrib, maka terdengar oleh baginda suatu suara. Kata baginda: Itu
suara Yahudi sedang disiksa dalam kuburnya.”
(Muslim)
Fadhilat Puasa Assyura
Hadith :
Dari
Abu Qatadah al-Anshari r.a. katanya:”Rasulullah s.a.w. ditanya orang
tentang puasa hari Arafah (9 Zulhijjah). Jawab baginda, "Semoga dapat
menghapus dosa tahun yang lalu dan yang akan datang". Kemudian Nabi
ditanya pula tentang puasa hari asyura (10 Muharram). Jawab baginda,
"Semoga dapat menghapuskan dosa tahun yang lalu".
(Muslim)
Sejarah Puasa Assyura
Hadith :
Dari
Aisyah r.a. katanya "Biasanya orang Quraisy pada masa jahiliah berpuasa
pada hari asyura dan Nabi s.a.w. pun berpuasa. Ketika Baginda tiba di
Madinah, baginda juga berpuasa pada hari asyura dan menyuruh orang lain
berpuasa juga".
(Muslim)
Pemberian Ansar Kepada Muhajirin
Hadith :
Dari
Anas bin Malik r.a, katanya:”Waktu orang Muhajirin datang ke Madinah,
mereka tidak membawa suatu apapun sedangkan orang Ansar mempunyai tanah,
kebun dan rumah-rumah. Orang Ansar lalu membahagikan tanah itu dengan
memberikan hasil harta itu kepada orang Muhajirin setiap tahun dan
mereka (muhajirin) mencukupkan kerja dan belanja. Ibunya (ibu Anas
dikenali dengan nama Ummu Sulaim) adalah ibu Abdullah bin Abu Thalhah.
Ibu Anas memberikan pohon kurma kepada Rasulullah saw. lalu baginda
berikannya kepada Ummu Aiman, maula baginda (hamba perempuan yang telah
dimerdekakan dan diambil sebagai isteri) iaitu ibu Usamah bin Zaid. Ibnu
Syihab berkata:”Anas bin Malik menceritakan kepada saya bahawa nabi
saw. setelah selesai memerangi penduduk Khaibar, baginda kembali ke
Madinah. Waktu itu orang Muhajirin mengembalikan pemberian orang Ansar
yang buahnya dahulu telah mereka ambil. Nabi saw. mengembalikan kepada
ibu Anas pohon kurmanya dan Rasulullah saw. memberikan gantinya kepada
Ummu Aiman dari kebun beliau sendiri.”
(Bukhari)
Orang Yang Mati Syahid
Hadith :
Daripada
Abi Akwar Said bin Zaid Amru bin Nufel r.a. (beliau adalah salah
seorang antara sepuluh orang yang disaksikan akan memasuki syurga)
katanya,: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang
terbunuh kerana membela harta yang dimilikinya maka matinya adalah mati
syahid, dan sesiapa yang terbunuh kerana membela dirinya dari dibunuh
oleh orang lain, maka matinya adalah mati syahid, dan sesiapa yang
terbunuh kerana mempertahankan agamanya (agama Islam) matinya adalah
mati syahid, dan sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan keluarganya
daripada diceroboh, matinya juga adalah mati syahid”.
(Abu Daud dan at-Tirmidzi)
Berkongsi pahala
Hadith :
Dari
‘Aisyah r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda:”Apabila seorang isteri
menyedekahkan makanan dari persediaan yang ada di rumahnya tanpa
mengurangi keperluan rumahtangganya, maka si isteri itu mendapat pahala
kerana dia yang menyedekahkannya dan si suami mendapat pahala kerana dia
berusaha (menghasilkannya) dan seorang bendahari juga mendapat pahala
tanpa berkurang sedikit pun.”
(Muslim)
Kemuliaan Mati Syahid
Hadith :
Dari
Anas bin Malik r.a, dari nabi SAW sabdanya:”Tidak ada seorangpun yang
telah masuk syurga ingin kembali semula ke dunia walaupun seluruh isi
bumi ini diberikan kepadanya kecuali orang-orang yang mati syahid. Orang
yang mati syahid itu ingin kembali ke dunia lalu dia tewas (syahid) di
dunia hingga sepuluh kali, kerana dia telah menyaksikan bagaimana
mulianya orang yang mati syahid.”
(Muslim)
Bohong sunat
Hadith :
Dari
Ummu Kalsum binti ‘Uqbah r.a sesungguhnya ia mendengar Rasulullah SAW
bersabda:”Bukanlah termasuk pendusta orang yang mendamaikan manusia.
Ditambahnya yang baik atau dikatakannya yang baik.”
(Bukhari)
Berbuat Baik Itu Sedekah
Hadith :
Dari Abu Syaibah r.a dari nabi s.a.w, sabdanya:”Setiap perbuatan baik (makruf) adalah sedekah.”
(Muslim)
Dilarang Puasa Sunat Apabila Tinggal Separuh Bulan Syaaban
Hadith :
Daripada
Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila tinggal
separuh bulan Syaaban janganlah kamu semua berpuasa sunat.”
(at-Tirmidzi)
Memakai Haruman
Hadith :
Dari
Aisyah r.a katanya:”Aku pernah memakaikan haruman ke baju ihram
Rasulullah s.a.w tatkala baginda hendak berihram dan sesudah tahallul
sebelum tawaf di Baitullah.”
(Muslim)
Kelebihan bersedekah
Hadith :
Dari
Amru bin Auf r.a katanya Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya sedekah
seseorang Islam itu memanjangkan umur dan mencegah daripada mati dalam
keadaan teruk dan Allah SWT pula menghapuskan dengan sedekah itu sikap
sombong, takbur dan membanggakan diri (dari pemberiannya).”
(Bukhari)
Elakkan Berkata”kalau”
Hadith :
Sabda
Rasulullah SAW yang bermaksud:”Mukmin yang kuat lebih disukai oleh
Allah daripada mukmin yang lemah. Namun pada kedua-duanya ada kebaikan.
Berjaga-jagalah terhadap perkara yang boleh mendatangkan kebaikan kepada
engkau, pintalah pertolongan daripada Allah. Sekiranya engkau ditimpa
sesuatu musibah, maka jangan engkau berkata:”Sekiranya (kalau) aku
lakukan begini maka sudah pasti lain yang berlaku. Tetapi
katakanlah:”Itu merupakan takdir Allah dan Dia melakukan apa yang
dikehendaki-Nya, sesungguhnya ‘kalau’ akan membukakan pintu amalan
syaitan.”
Riwayat Muslim
Keguguran Dan Cara Mengurus
Hadith :
Sabda
Rasulullah s.a.w:”Anak yang mati keguguran disolatkan dan didoakan bagi
kedua orang tuanya agar memperolehi keampunan dan rahmat.”
Riwayat Abu daud dan at-Tirmidzi
Kelebihan Bersedekah Di Bulan Puasa
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:" Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadhan.”
Riwayat at- Tirmidzi
Lestarikan Kemerdekaan Dengan Perpaduan
Hadith :
Dari
Amir bin Saad dari bapanya r.a katanya:“Pada suatu hari Rasululah s.a.w
datang dari daerah perbukitan. Ketika baginda sampai di Masjid Bani
Mu’awiyah baginda masuk ke masjid tersebut lalu solat dua rakaat. Kami
pun solat bersama-sama dengan baginda.Baginda berdoa kepada Tuhan
panjang sekali. Setelah berdoa baginda berpaling kepada kami lalu
bersabda:”Aku memohon kepada Tuhan tiga perkara. Dia memperkenankan dua
perkara dan menolak satu perkara. Aku memohon kepada Tuhan supaya jangan
membinasakan umatku dengan musim susah yang panjang. Maka
diperkenankan. Aku memohon supaya umatku jangan dibinasakan dengan
bencana tenggelam (seperti banjir besar yang melanda umat Nabi Nuh atau
seperti tentera dan Raja Firaun yang ditenggelamkan di lautan),
permohonanku itu diperkenankan-Nya juga. Aku memohon supaya umatku
jangan dibinasakan kerana pertentangan sesama mereka. Permohonan ini
tidak diperkenankan. “
(Bukhari)
Galakan Berpuasa Sunat
Hadith :
Dari
Aisyah r.a :” Bersabda Rasulullah s.a.w kepadaku pada suatu hari:”Wahai
Aisyah! Adakah di sisi kamu sesuatu pun (untuk dimakan )?” Aisyah
berkata:” Wahai Rasulullah! Tidak ada sesuatu pun (untuk dimakan)”
Baginda bersabda “(Jika begitu) maka aku berpuasa”
(Muslim)
Di Mana Imam Berdiri Dalam Solat Jenazah?
Hadith :
Samurah
Ibnu Jundub r.a berkata : “Saya bersolat di belakang nabi SAW untuk
jenazah seorang perempuan yang meninggal kerana nifasnya. Maka nabi
berdiri bertentangan pinggang jenazah tersebut.”
(al-Bukhari dan Muslim )
Adab Dan Tatatertib Melawat Orang Sakit
Hadith :
Rasulullah
s.a.w bersabda: "Apabila kamu ziarahi orang sakit atau orang yang
hampir mati, hendaklah kamu memperkatakan perkara yang baik, kerana
sesungguhnya Malaikat mengucap Amin terhadap apa yang kamu katakan itu."
Ummi Salamah r.a
Air Mazi Tidak Mewajibkan Mandi Hadas Besar
Hadith :
Daripada
Ali bin Abi Talib r.a berkata : “Aku adalah seorang yang selalu keluar
air mazi, lalu aku menyuruh al-Miqdad ibn al-Aswad bertanya kepada nabi
SAW, lalu ia pun bertanya, maka baginda menerangkan : “Padanya, air
sembahyang.”
(al-Bukhari 4 : 34. Muslim 3 : 4)
Setiap Penyakit Ada Penawarnya
Hadith :
Rasulullah
s.a.w telah bersabda yang maksudnya:”Bahawa Allah telah menurunkan
penyakit dan ubat dan dijadikan kepada setiap penyakit ada ubatnya,
berubatlah tetapi jangan berubat dengan benda-benda yang haram.”
(Abu Daud)
Jalan Yang Menyampaikan Kepada Ma'rifat
Hadith :
Dari
Nabi s.a.w, sabdanya: "Fikirkanlah mengenai segala apa jua (yang
diciptakan Allah), tetapi janganlah kamu memikirkan tentang zat
Allah….."
Ibn Abbas r.a
Kerasulan Nabi Muhammad S.a.w
Hadith :
Rasulullah
s.a.w bersabda: " Demi Tuhan yang diri Muhammad dalam kekuasaan-Nya!
Tidak ada seseorang pun dari umat manusia ini sama ada Yahudi atau
Nasrani yang mendengar akan perihalku ( menjadi utusan Allah ) kemudian
ia mati sedang ia tidak beriman dengan ( agama Islam ) yang aku
diutuskan membawanya melainkan menjadilah ia dari ahli neraka."
Abu Hurairah r.a
Beriman Kepada Malaikat
Hadith :
Nabi
s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Allah telah menugaskan satu Malaikat
berhubung dengan peringkat-peringkat kejadian anak dalam kandungan rahim
ibunya dan keadaan-keadaan yang akan dilalui dan didapatinya; apabila
air benih itu jatuh ke dalam rahim, Malaikat bertanya: "Ya Tuhanku! Air
benih ini akan disempurnakan kejadiannya atau tidak? - Ya Tuhanku! Darah
seketul ini akan disempurnakan kejadiannya atau tidak? - Ya Tuhanku!
Daging segumpal ini akan disempurnakan kejadiannya atau tidak? Maka
apabila Allah hendak sempurnakan jadinya seorang anak, Malaikat bertanya
lagi: "Ya Tuhanku! Adakah ia seorang (yang bernasib) celaka atau (yang
bernasib) bahagia? Lelakikah ia atau perempuan? Bagaimana pula keadaan
rezekinya dan ajalnya?" (setelah Malaikat mendapat jawabnya) maka ia
menulis sebagaimana yang telah diperintahkan sedang anak itu dalam perut
ibunya."
Anas r.a
Beriman Kepada Malaikat
Hadith :
Nabi
s.a.w bersabda: "Sesiapa yang menyeksa haiwan dengan mengerat,
mengoyak, mencabut atau mengelar mana-mana anggotanya, maka ditimpakan
atasnya laknat Allah dan Malaikat serta manusia semuanya."
Ibn Umar r.a
Perihal Syaitan
Hadith :
Rasulullah
s.a.w bersabda dalam khutbahnya: "Ketahuilah! Sesungguhnya Tuhanku
telah memerintahkan supaya aku mengajar kamu akan apa yang tidak kamu
mengetahuinya dari perkara-perkara yang diajarkannya kepadaku pada hari
ini, iaitu (Tuhanku berfirman): "Segala harta benda yang Aku berikan
seseorang mendapatnya dengan mana-mana jalan yang Aku benarkan: Adalah
Halal; dan sesungguhnya Aku telah jadikan hamba-Ku semuanya suci bersih
(dari fahaman dan amalan syirik) serta betul benar menurut keadaan
semula jadinya; dan sesungguhnya mereka didatangi dan diperdayakan oleh
syaitan-syaitan sehingga sebahagian besar di antara mereka menyeleweng
dan terpesong dari ajaran agamanya yang sebenar…."
'Iyadh bin Himar Al-Mujasyi'I r.a
Keadaan Seseorang Ketika Sampai Ajal
Hadith :
Dari
Aisyah r.a katanya: "Aku melihat Nabi s.a.w semasa Baginda hampir wafat
dan disisinya sebuah bijana berisi air, dan Baginda memasukkan
tangannya ke dalam bijana itu lalu menyapu mukanya, sesudah itu Baginda
berdoa: "Ya Tuhanku! Berilah aku pertolongan terhadap
penderitaan-penderitaan maut atau Sakratul maut (yang sedang aku
hadapi)".
Aisyah r.a
Keadaan Seseorang Ketika Dalam Kubur
Hadith :
Rasulullah
s.a.w bersabda: "Apabila si mati dikuburkan….., datanglah kepadanya dua
Malaikat hitam legam, lagi biru (matanya), salah satu di antaranya
disebut dengan nama "Munkar" dan yang satulagi disebut dengan nama
"Nakir", (lalu keduanya mendudukan si mati itu setelah dikembalikan
rohnya ke dalam jasadnya) kemudian mereka menyoalnya:"Apa yang pernah
engkau katakan mengenai orang ini (Muhammad s.a.w)?" (dan pada satu
riwayat oleh Abu Daud: Mereka bertanya kepadanya: "Apa yang engkau
pernah sembah?" Maka kalau Allah memberi hidayah pertunjuk kepadanya, ia
akan menjawab dengan berkata: "Aku menyembah Allah!" Kemudian ia
ditanya lagi: "Apa yang engkau pernah katakan mengenai orang ini
(Muhammad s.a.w)?" (Dan pada satu riwayat yang lain, oleh Abu Daud juga:
Mereka menyoalnya dengan berkata: "Siapa Tuhanmu?" Ia menjawab:
"Tuhanku ialah Allah!" Mereka bertanya lagi: "Apa agama mu?" Ia
menjawab: "Agamaku ialah Islam!" Mereka bertanya lagi: "Siapa dia orang
yang telah diutuskan dalam kalangan kamu)?" Maka kalau si mati seorang
yang beriman, ia akan menjawab dengan berkata: "Orang itu (Muhammad
s.a.w) ialah hamba Allah dan RasulNya, aku mengetahui serta meyakini
bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan
bahawa sesungguhnya Muhammad itu ialah hamba Allah dan RasulNya!"
Mereka berkata kepadanya: "Kami sedia mengetahui bahawa engkau mengakui
yang demikian"; (Dan pada satu riwayat oleh Abu Daud bahawa Baginda
s.a.w bersabda: "Lalu diseru oleh penyeru dari langit katanya: "Sungguh
benar hamba-Ku, maka bentangkanlah kepadanya satu hamparan dari Syurga,
dan pakaikanlah dia pakaian dari Syurga, serta bukakanlah baginya sebuah
pintu ke Syurga". "Rasulullah s.a.w bersabda lagi: "Lalu datang
kepadanya sebahagian dari bau Syurga dan keharumannya ); kemudian
dilapangkan kuburnya seluas tujuh puluh hasta persegi, dan diberikan
cahaya yang menerangi kuburnya; kemudian dikatakan kepadanya:
"Tidurlah!" Lalu ia berkata: "Bolehkah aku balik kepada keluargaku
supaya dapat aku ceritakan kebaikan halku?" Dua Malaikat itu berkata
kepadanya: "Tidurlah seperti tidurnya pengantin yang tidak dibangkitkan
dari tidurnya melainkan sekasih-kasih ahlinya; Demikianlah halnya
sehingga ia dibangkitkan Allah dari tempat baringnya itu. Jika si mati
itu seoarang munafik, ia menjawab pertanyaan Malaikat itu dengan
katanya: "Aku dengar orang berkata demikian, maka aku pun turut berkata
sama; aku tidak tahu benarkah atau tidak". Lalu dua Malaikat itu
berkata: "Memang kami tahu engkau berkata demikian"; (dan menurut satu
riwayat oleh Abu Daud: "Lalu diseru oleh penyeru dari langit katanya:
"Sesungguhnya orang itu berdusta maka bentangkanlah kepadanya satu
hamparan dari Neraka, dan pakaikanlah dia dari Neraka, serta bukakanlah
baginya sebuah pintu ke Neraka". Rasulullah s.a.w. bersabda lagi: "Lalu
datang kepadanya sebahagian dari bahang Neraka dan udara panasnya)
kemudian diperintahkan bumi supaya mengapitnya lalu bumi mengapitnya
sehingga berselisih tulang-tulang rusuknya, maka tinggallah ia dalam
azab itu terus menerus ke masa Allah bangkitkan dia dari kuburnya."
Abu Hurairah r.a
Allah Mengampuni Dosa Orang Yang Berpuasa
Hadith :
Rasulullah
s.a.w bersabda yang maksudnya:“Sesiapa yang berpuasa dengan penuh
keimanan kepada Allah, maka sesungguhnya telah diampuni dosa-dosanya
yang telah lalu.”
Riwayat Bukhari dan Muslim
Keadaan Seseorang Ketika Sampai Ajal
Hadith :
Dari
Anas r.a katanya: "Rasulullah s.a.w telah masuk menziarahi seorang
pemuda yang sedang berada dalam keadaan hampir mati, lalu bertanya
kepadanya: "Bagaimana Keadaanmu?" Pemuda itu menjawab: "Aku berharap
kepada (rahmat) Allah - Ya Rasulullah! - dan aku takutkan (balasan
buruk) dari sebab dosa-dosa ku". Mendengarkan yang demikian, Rasulullah
s.a.w bersabda: Tidak berhimpun dalam hati seseorang dua perkara itu
(harap dan takut) pada saat yang seperti ini, melainkan Allah
memberikannya apa yang diharapkan dan menyelamatkannya dari apa yang
ditakuti."
Anas r.a
Ciri-ciri Orang Munafik
Hadith :
Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:
“Ada
empat perkara, sesiapa yang melakukannya maka ia adalah seorang munafik
tulen. Sesiapa yang melakukan satu daripada empat perkara itu, maka ia
mempunyai salah satu daripada sifat munafik, hingga dia meninggalkannya .
(Empat sifat itu ialah) apabila dipercayai ia khianat, apabila bercakap
ia berdusta, apabila berjanji ia mungkir dan apabila bertengkar ia
mengenepikan kebenaran. (Menegakkan benang basah ) “.
Riwayat Ahmad
Menghormati Orang Yang Sedang Sakit
Hadith :
Dari
Ibn Abbas r.a katanya: "Diantara adab peraturan yang ditetapkan oleh
Nabi s.a.w ialah: Memendekkan masa duduk dan mengurangkan bising semasa
melawat orang sakit." Ibn Abbas berkata lagi: "Rasulullah s.a.w bersabda
ketika sahabat-sahabat banyak membuat bising dan berselisih pendapat
(semasa mereka melawat Baginda yang sedang gering): "Bangunlah kamu
semua tinggalkan daku!".
Ibn Abbas r.a
Memuliakan Rasulullah Dan Keluarga Baginda
Hadith :
Nabi
s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Allah telah memilihku dan memilih untukku
beberapa sahabat dan mertua serta menantu-menantu; dan (ingatlah) akan
datang suatu puak yang mencaci dan membenci mereka, maka janganlah kamu
bersekedudukan dengan mereka, dan janganlah kamu semakan seminum dengan
mereka,dan jangan juga kamu bersemenda dengan mereka."
Anas r.a
Masa Hari Kiamat Dan Huru-haranya
Hadith :
Nabi
s.a.w bersabda: "Manusia berpeluh pada hari kiamat dengan banyaknya
sehingga air peluh mereka meresap ke dalam bumi berpuluh-puluh hasta,
dan menenggelami mereka sehingga sampai ke telinga masing-masing".
Abi Hurairah r.a
Perhimpunan Di Padang Mahsyar Sehingga Masing-masing Menerima Balasan
Hadith :
Nabi
s.a.w bersabda: "Tuhan akan himpunkan semua manusia pada hari kiamat di
atas satu bumi yang putih kemerah-merahan seperti sebiji roti gandum
putih yang baharu dibakar, bumi yang suci bersih, tidak ada padanya
gunung-ganang atau bukit bukau dan tidak pula ada padanya sebarang tanda
atau kesan yang menunjukkan bahawa bumi itu pernah diduduki atau
dimiliki orang".
Sahl bin Sa'id As-Sa'idiy r.a
Keadaan Seseorang Ketika Sampai Ajal
Hadith :
Dari
Aisyah r.a katanya: "Aku tidak memandang elok atau merasa iri hati
kepada sesiapa pun dengan sebab mudah dan ringannya Sakratul maut yang
dialaminya, sesudah aku melihat kesukaran Rasulullah s.a.w menghadapi
Sakratul maut."
Aisyah r.a
Hampirnya Saat-saat Kiamat
Hadith :
Nabi
s.a.w sabdanya: "Tidak berlaku saat kiamat melainkan semasa tidak ada
di dunia ini selain daripada orang-orang jahat (yang tidak mengenal baik
dan buruk)."
Ibn Mas'ud r.a
Tanda-tanda Kiamat
Hadith :
Nabi
s.a.w sabdanya: "Tidak akan berlaku saat kiamat sehingga orang yang
tidak tentu saka bakanya, yang buruk akhlaknya, dan yang bodoh bebal,
menjadi sebahagia-bahagia manusia dengan kesenangan dunia."
Huzaifah r.a
Adab Dan Tatatertib Melawat Orang Sakit
Hadith :
Dari
Ummi Salamah katanya: Rasulullah s.a.w telah masuk menziarahi Abu
Salamah sedang mata Abu Salamah terbuka, lalu Nabi s.a.w menutupnya,
kemudian Baginda bersabda: "Sesungguhnya roh apabila ia diambil oleh
Malaikat akan diturut oleh pandangan mata (si mati itu)"; (mendengar
yang demikian) sebahagian dari keluarganya riuh rendah (menangis dan
menyebut-nyebut kemalangan yang mendukacitakan mereka), lalu Baginda
s.a.w bersabda: "Janganlah kamu menyebut-nyebut perkara-perkara yang
buruk yang merosakkan kamu, tetapi sebutlah perkara-perkara yang baik,
kerana Malaikat memohon supaya Tuhan kabulkan apa yang kamu katakan -
baik atau buruk", kemudian Baginda s.a.w berdoa dengan sabdanya: "Ya
Tuhanku! Ampunkanlah dosa Abu Salamah dan tinggikanlah darjatnya bersama
orang-orang yang mendapat hidayah pertunjuk, dan jadilah sebagai
gantinya untuk mengurus dan melindungi keluarganya yang ditinggalkan,
dan ampunkanlah bagi kami dan baginya Ya Rabbal alamin, dan lapangkanlah
kuburnya serta berilah kepadanya cahaya yang menerangi kuburnya."
Ummi Salamah
Adab Dan Tatatertib Melawat Orang Sakit
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda: "Cara melawat orang sakit yang lebih afdal pahalanya ialah segera meninggalkan sakit itu."
Jabir r.a
Separuh Pahala
Hadith :
Abu
Hurairah r.a berkata Nabi SAW bersabda maksudnya : “ Apabila seorang
wanita menafkahkan sebahagian dari hasil usaha suaminya tanpa izin
suaminya maka bagi suaminya separuh pahala.”
(al-Bukhari dan Muslim)
Keadaan Seseorang Ketika Dalam Kubur
Hadith :
Rasulullah
s.a.w bersabda: "Sesungguhnya kubur ialah tempat perhentian yang
pertama dari tempat-tempat perhentian alam akhirat, oleh itu jika
seseorang terselamat dari huru hara azabnya, maka huru hara di
tempat-tempat yang lain lebih ringan lagi kepadanya; dan jika ia tidak
terselamat dari yang tersebut, maka huru hara di tempat-tempat yang lain
lebih berat lagi.
'Uthman bin 'Affan r.a
Bawang Putih Dan Bau Mulut
Hadith :
Abu
Ayyub r.a meriwayatkan katanya: “Adalah Rasulullah SAW apabila baginda
didatangkan makanan maka baginda memakan sebahagiannya dan yang lebihnya
dikirim kepada ku. Pada suatu hari baginda mengirimkan kepada ku
makanan yang lebih yang tidak pun dimakan sebahagiannya kerana padanya
ada bawang putih. Saya bertanya kepada beliau: “Apakah ia haram? Baginda
bersabda: “Tidak. Tetapi aku tidak menyukainya kerana baunya. Abu Ayyub
berkata: “Sesungguhnya saya tidak menyukai apa yang anda tidak
menyukainya.”
(HR Muslim)
Pahalanya Tetap Ada
Hadith :
Abu
Hurairah r.a menerangkan bahawasanya Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
“ Seorang lelaki berkata : “Demi Allah saya akan memberi sedekah. Maka
dia keluar membawa sedekahnya lalu diletakkannya di dalam tangan
pencuri. Maka pada paginya, orang ramai pun memperkatakan hal tersebut.
Mereka berkata : “ Telah diberi sedekah kepada pencuri. Si pemberi itu
berkata : “Wahai Tuhan ku, hanya untuk Engkaulah segala puji-pujian.
Demi Allah, saya akan sedekahkan satu sedekah lagi. Maka dia keluar
membawa sedekahnya lalu diletakkan di tangan wanita penzina. Pada pagi
hari itu orang ramai pun memperkatakan hal tersebut. Mereka berkata :
“Telah diberikan sedekah kepada wanita penzina. Orang tersebut berkata :
“Wahai Tuhan ku, hanya untuk Engkaulah segala puji-pujian. Demi Allah
saya akan memberikan satu sedekah lagi. Maka dia keluar membawa
sedekahnya lalu diletakkan di tangan orang kaya. Pada pagi hari itu
orang ramai memperkatakan hal tersebut. Mereka berkata : “Telah
diberikan sedekah kepada orang kaya. Orang itu berkata : “Wahai Tuhan
ku, hanya untuk Engkaulah segala puji-pujian terhadap si pencuri, si
penzina dan terhadap si kaya. Kemudian datanglah seseorang kepadanya
dalam tidurnya lalu berkata kepadanya : “Sedekah mu kepada si pencuri,
mudah-mudahan ia akan memelihara dirinya daripada mencuri, manakala
kepada wanita penzina mudah-mudahan ia akan memelihara dirinya daripada
berzina dan orang kaya mudah-mudahan ia akan mengambil ibarat lalu
menafkahkan sebahagian harta yang telah Allah berikan kepadanya.”
(al-Bukhari dan Muslim)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan