Mereka mengaut keuntungan atas kesengsaraan si perokok.
Itu tanggapan awal saya setiap kali kerajaan menaikkan duti eksais rokok dengan alasan "rokok membahayakan kesihatan."
Saya tidak pernah membantah tentang bahaya dan puakanya menghisap rokok ini.
Saya setuju malah agama sendiri telah membariskan surah yang melarang kita merosakkan tubuh badan dan membahayakan kesihatan.
Ramainya juga maklum perbahasan ini.
"Janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke arah kebinasaan," - Surah al-Baqarah, ayat 195
Bagi saya ayat ini terpakai bukan sahaja untuk yang merokok, bahkan jika kita memandu laju di jalan raya dengan mengundang celaka kepada nyawa dan orang di sekeliling kita, ianya juga satu larangan keras dari agama.
Ya, saya bukan nak berhujah tentang surah atau bercerita seperti orang yang pandai agama tetapi nak bercerita tentang natijah dan padahnya pengalaman yang saya lalui selama menjadikan rokok sebagai teman hidup.
Saya berjinak dengan rokok, sewaktu berusia 15 tahun ketika gelodak jiwa dan perasaan dihambur seribu macam masalah yang bertimpa.
Kononnya dengan merokok dapat menyelesaikan atau sekurang-kurangkan mengurang beban di fikiran. Begitulah dangkalnya minda yang belum matang.
Ternyata rokok sebagai teman duka lara tidak banyak membantu, bahkan menambahkan lagi satu masalah baru, iaitu ketagihan.
Dengan harga yang mahal, sebagai pelajar seperti saya, sering mencari akal dan alasan untuk meminjam atau meminta duit daripada sang ayah untuk memenuhi kehendak nafsu itu.
Mereka yang berhenti merokok setelah mendapat serangan jantung memiliki kemungkinan untuk meninggal 10 kali lebih sedikit dibandingkan mereka yang terus merokok.
Itulah sebabnya, kalau pelajar hisap rokok, mereka mesti 'steng' atau kongsi sikit seorang. Kadang-kadang sebatang kongsi lima orang.
Ianya sesuatu yang 'luxury' (mewah) dan sering digambarkan sebagai seorang yang mempunyai 'gaya dan keunggulan' dan dipandang hebat di mata ramai.
Itu dari sisi pandang seorang perokok. Bagi yang memandang, pasti menyampah!
Di asrama, aneka helah dicerna untuk memastikan ketagihan itu dapat dilunasi. Bayangkanlah, kalau ditangkap kerana menghisap rokok, tak cukup tanah dikerjakan cikgu sekolah.
Oleh itu pelbagai cara digunakan untuk menyembunyikan hanya sebatang rokok.
Antaranya sorok di sisi stoking, sebatang pen yang diubah suai, sesuai dengan saiz batang rokok, siling sekolah, batang-batang besi katil yang mempunyai lubang kecil dan 1001 macam cara untuk menjadi 'penjenayah' tidak bertauliah.
Saya menjadi 'social and regular smoker' pada usia 20an, ketika bertugas sebagai pengemaskini data dan sijil saham di sebuah syarikat saham di ibu kota.
Kerja adakalanya melangkaui, lewat masa dan tamat sehingga subuh hari. Mata kadang-kadang terpejam celik.
Justeru, kononnya untuk menahan mata menjadi 'terang', rokok dijadikan ubat penawar.
Seperti biasa, ubat yang disangka penawar hanyalah dongengan semata tetapi menambah bala, apabila mula batuk tak berhenti pula.
Yang disangka teman atau penawar, rupanya racun berbisa, tak bermata.
Tidak mudah berhenti merokok
Itulah sebabnya, saya simpati dengan si perokok dan sebenarnya tidak mudah untuk berhenti rokok.
Kalau sudah terjebak, cukup perit untuk berjuang meninggalkannya.
Saya berusaha berhenti merokok tiga kali sepanjang hidup ini. Fasa pertama ketika berusia 22 tahun. Berazam tekad dengan cara berdikit-dikit.
Dari 10 batang sehari, berkurang menjadi tujuh, kemudian tiga, seterusnya sebatang sehari. Akhirnya saya berjaya berhenti selama sebulan.
Terkejut juga badan. Tiga hari saya demam dan menggelisah. Macam orang ketagih dadah lagaknya.
Apatah lagi bila tengok kawan-kawan berkepul asap di depan mata.
Ada pula yang tidak menyokong, bahkan memberi rokok percuma berbatang-batang, supaya saya terus bersama seiring sejalan dengan mereka.
Kemudian, saya kembali semula menghisap. Kali ini lebih 'advance'. Dua kotak sehari. Satu rokok jenis biasa dan satu rokok jenis kretek.
Lebih parah, ketika saya membuat kerja-kerja buruh, menanam anak benih pokok getah di kaki bukit.
Rakan serta keluarga anda tidak hanya harus menghadapi penyakit akibat merokok yang anda alami, kebiasaan merokok anda juga akan meningkatkan risiko mereka untuk sakit dan meninggal.
Waktu kerja terik di bakar mentari, lebih gian dan kuatlah rokok dicucuh api.
Fasa kedua, saya cuba cara tradisional. Ambil kelapa muda, belah dan kemudian tembakau rokok di rendam di dalam air kepala itu. Lepas itu minum.
Cukup teruk rasanya dan cukup dramatiklah gayanya, apabila saya kemudiannya muntah!
Ya, bertahanlah saya selama 30 hari sahaja. Bau dan asap rokok cukup tidak menyenangkan.
Tetapi lama kelamaan, ketagihan itu melebihi daripada perasaan tidak mahu merokok.
Rupanya, bukan cara berhenti yang menjadi pokok pangkalnya, tetapi keazaman yang kuat.
Ada beberapa mitos, yang diceritakan bahawa tembakau rokok ini 'disemah' dan jampi terlebih dahulu.
Ada juga yang kata, yang ianya dibancuh dan disiram dengan arak terlebih dahulu.
Ada juga kata, rumput pertama yang dipijak syaitan, setelah ditendang keluar dari syurga itulah yang dinamakan tembakau.
Macam-macam cerita. Ada hadis dhaif dan palsu. Semuanya saya tidak tahu, yang saya tahu, ianya benar-benar membuatkan seseorang ketagih!
Kerajaan kaut untung atas derita si perokok
Sebenarnya selain Fasa Satu dan Fasa Kedua, telah ada beberapa siri kecil, saya berusaha mengadakan protes kepada rokok ini. Kerana pada saya ianya tidak menambah nilai atau memberi sebarang makna.
Cuma yang lebihnya ialah menambah satu penyakit demi penyakit dan menambah wang demi wang untuk menikmati ketagihan.
Malah sumpahan, cacian dan bencinya manusia kepada si perokok juga turut menjulang tinggi. Itu sahajalah yang menambah.
Itu tidak termasuk batuk berdarah, sakit dada, semput, sukar bernafas, pening dan tak bermaya.
Selain itu, menjadi seorang perokok ini bukanlah sesuatu yang membanggakan.
Bayangkan gaya hidup yang tidak sihat dan sanggup berkorban apa saja semata-mata untuk menyedut nikmat asap dan candu.
Saya sanggup bersusah payah keluar rumah jam 3.00 pagi, semata-mata, mencari bekalan rokok. Lihat betapa gian dan bahananya menghisap rokok.
Bila perokok menghentikan kebiasaanya, 79 % dari mereka akan bertambah berat badannya, namun pertambahan rata-ratanya hanya 2.3kg, bersenamlah segera!
Tidak cukup dengan itu, kita penting diri sendiri. Asap yang berkepul, dihidu insan tak 'berdosa' terutamanya si kecil yang tercungap-cungap, cuba menghirup udara nyaman.
Satu lagi, kalau ketandusan wang, ada masanya, terkial-kialnya mencari puntung-puntung lama, untuk dicucuh api, dan dihisap semula.
Macam orang gila, mengaih sampah. Betapa, malunya watak itu, kalau ditonton ramai. Tak percaya, tanyalah kepada yang pernah melalui saat getir itu.
Satu lagi sifat merokok ini, tidak mungkin tidak, ianya ada ciri-ciri seorang 'pengotor.' Tak mungkin tidak, seorang perokok, akan membuang rokoknya di mana sahaja, bumi dipijak dan puntung dijunjung.
Jalan raya, kaki jalan, taman bunga, ladang, bangunan, kubur malah kawasan hospital pun, tidak lepas dengan sikap pengotor ini.
Selepas itu, sudahlah ada ketagihan yang sukar dibendung, kerajaan pula ambil kesempatan kaut untung atas sengsara si perokok.
Betapa malunya menjadi sang perokok.
Sudahlah disumpah, dicerca oleh orang ramai kerana mempunyai tabiat yang tidak elok, kemudian dianiaya pula oleh kerajaan, dengan menaikkan cukai dengan tidak semena-mena.
Dengan alasan-alasan seperti ramai perokok yang tegar, masalah kesihatan perokok yang semakin meruncing dan gejala rokok di kalangan pelajar sekolah semakin berleluasa maka kerajaan seperti biasa mencari jalan mudah dan pintas menyelesaikan masalah tersebut dengan menaikkan harga rokok!
Seorang pembaca menimbulkan persoalan sama ada bersungguh dan ikhlas kerajaan dalam memerangi rokok yang telah dibuktikan membahayakan kesihatan ini atau barangkali, kerajaan lebih suka membiarkan gejala ini berleluasa dan berterima kasih dengan ketagihan perokok ini supaya dapat mengaut keuntungan yang banyak.
Pohon kepada Allah
"Memang benar sama ada dinaikkan atau diturunkan harga, fenomena rokok amatlah sukar dibendung secara total, tetapi membiarkan perokok mendapatkan bekalan rokok dengan mudah adalah satu tindakan kerajaan yang perlu dipersoalkan," katanya dalam satu laman surat pembaca dua tahun lalu kepada saya."
"Kerajaan dan umum mengetahui, perokok yang ketagihan akan terus berusaha dengan segala kepayahannya untuk mendapatkan bekalan rokok meskipun harganya terlalu tinggi," tulis pembaca itu.
Saya simpati kepada nasib perokok. Apalagi yang tinggal kepada si perokok kalau ketagihan mereka dipermainkan dan dijadikan umpan?
Tak mengapalah tetapi saya tidak ada cara lain lagi untuk berhenti merokok. Sudah cukup banyak ianya menyeksa saya. Wang, masa dan tenaga, dihabiskan untuk sebatang nan durjana ini. Saya tidak ada pilihan lain, melainkan berhenti dengan serta merta!
Macam-macam cara saya guna. Dan saya sering teringat kata seorang teman tentang rokok.
Amalan berpuasa dari pandangan islam ialah untuk mengawal nafsu dari melakukan maksiat.. oh yaa! dan juga merokok!
"Setiap hari, walaupun mungkin tidak haram tetapi kau buat kerja yang tidak disukai Allah, pasti sukar mendapat rahmat dari-Nya. Pasti, tidak ada kecukupan dan berkah dalam kehidupan," katanya membuatkan saya terkedu seketika.
Tidak ada cara lain, melainkan memohon pertolongan Allah. Allah sahaja yang tahu sengsaranya hidup sebagai sang perokok. Di luar bergaya, di dalam malapetaka.
Saya mula berdoa dengan melafazkan kata-kata khusus, supaya Allah 'mengkhatamkan' hati saya, untuk tidak merokok lagi.
"Ya Allah. Berhentikanlah tabiat menghisap rokok ini. Hanya pada-Mu sahaja yang berkuasa mengubah hati. Tutuplah hati dan perasaan ingin merokok ini. Aku tidak mahu merana lagi dan tidak mahu melakukan seuatu yang tidak kau redhai," pinta saya sewaktu sujud yang lama.
Bersungguh-sungguh saya pohon. Kerana saya yakin dan pasti, persoalan hati dan semangat yang kuat adalah urusan Allah untuk kabulkan.
Sehinggalah pada suatau malam sekitar akhir tahun 2005, ketika menyala sebatang rokok, mulut saya rasa begitu pahit dan tekak mula menjadi loya menjadikan hati saya terasa begitu mual, benci dan tidak mahu lagi untuk terjebak dengan ketagihan yang memalukan.
Alhamdullilah, doa saya yang tidak putus-putus untuk berhenti merokok, dikabulkan tuhan dan tuhan telah menyelamatkan saya sekali lagi.
Dan, kini sudah hampir empat tahun, hidup saya semakin tenang, fikiran makin matang dan nafas kembali segar dan udara untuk dihirup setiap pagi, di kala subuh terasa cukup nikmat!
Kepada yang berhajat untuk berhenti, sesungguhnya ruang pengampunan dan pertolongan Allah Maha luas, pintalah nescaya diperkenankan.
Kepada yang mahu juga mencuba, cubalah tetapi hadapilah 'azab' yang saya lalui selama 10 tahun menjadi sang perokok.
Kepada yang mahu mencuba, lupakan saja, kerana bimbang-bimbang sukar untuk kembali ke pangkal jalan!
Kepada yang ingin membantu, jangan caci dan hina si perokok tetapi bantu bimbing semangat mereka kerana mereka juga manusia biasa....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan