Semasa pemerintahan Sayyidina Umar Al-Khattab r.a., ada seorang lelaki
bernama Hassan. Suatu hari dia keluar dari kampungnya dengan menunggang
seekor unta untuk membuat satu perjalanan yang jauh. Setelah
lama menunggang, dia keletihan lalu turun dari untanya dan bersandar di
sebatang pokok lalu tertidur. Setelah sedar dari tidurnya didapatinya
untanya tidak ada. Dia terburu-buru mencari untanya itu. Dalam keadaan
cemas dan bimbang itu, Hassan terjumpa untanya, tetapi telah mati.
Alangkah terkejutnya Hassan.
“Pakcik yang membunuhnya,” kata seorang tua yang berada di situ.
“Tetapi bukan sengaja. Unta ini memakan tanaman pakcik, jadi pakcik
lontar dengan batu kecil. Kena betul-betul di kepalanya. Tiba-tiba unta
ini rebah lalu mati.”
Hassan dalam keadaan bingung kerana
terkejut dari tidur, tiba-tiba mencabut pedangnya dan dihayun ke arah
orang itu dan terpenggallah leher dari badan.
Hassan
seakan-akan baru tersedar dari mimpi dan menyesal yang amat sangat.
Hassan lalu mencari keluarga si mati dan menceritakan segala-galanya.
Dua orang anak lelaki kepada orang tua itu terus membawa Hassan kepada
Amirul Mukminin hari itu juga. Hassan pun dihadapkan ke mahkamah
pengadilan. Dengan dihadiri oleh beberapa orang sahabat, pembicaraan pun
dijalankan.
Setelah mendengar pengakuan Hassan sendiri,
Sayyidina Umar selaku hakim telah menjatuhkan hukuman bunuh ke atas
Hassan. Mendengar itu Hassan berkata:
“Demi Allah, saya lebih
sanggup dibunuh di dunia daripada mendapat hukuman Neraka di Akhirat.
Tapi, wahai Amirul Mukminin, saya minta ditangguhkan hukuman itu
beberapa hari kerana saya hendak pulang memberitahu keluarga saya
tentang perkara ini. Mereka semua belum tahu dan kerana jauhnya dari
sini tentu mereka tidak akan tahu kalau saya tidak memberitahunya.”
Sayyidina Umar tidak dapat memperkenannya kalau tidak ada penjamin.
Walaupun Hassan merayu, tetapi Sayyidina Umar tetap bertegas. Akhirnya
seorang sahabat bernama Abu Zar bangun dan berkata,
“Sekalipun saya
tidak kenal saudara Hassan, namun atas nama sahabat Rasulullah, saya
minta tuan hakim memperkenankan permohonan Hassan. Jika sekiranya Hassan
tidak datang pada hari akan dijatuhkan hukuman, maka biarlah saya yang
dihukum.”
Dengan jaminan itu, maka Hassan pun dibenarkan pulang
ke kampungnya. Sesampai di rumah, Hassan terus memberitahu keluarganya
tentang apa yang berlaku dan berkata, “Biarlah saya jalani hukuman di
dunia dari hukuman di Akhirat.”
Menangislah ibu bapa dan anak
isterinya. Tetapi Hassan tidak lemah semangat, terus dipacunya kuda
menuju ke tempat pengadilan. Dia lebih takut kepada Allah dan cintakan
Akhirat lebih daripada anak isteri.
Di pertengahan jalan,
tiba-tiba tali pacu kudanya putus. Hassan cemas kalau-kalau dengan itu
dia terlewat sampai. Bagaimanapun dengan susah payah, Hassan dapat
membetulkan tali kekang kudanya dan akhirnya dapat meneruskan
perjalanannya, tetapi sudah lewat.
Di padang tempat hukuman
hendak dijatuhkan kerana kelewatan Hassan, semua yang menanti sangat
cemas. Mereka cemaskan Abu Zar yang terpaksa menggantikan tempat Hassan.
Dalam suasana kecemasan yang memuncak, tiba-tiba berbalam-balam di
kejauhan semua yang hadir nampak kuda pacuan berlari kencang menuju ke
tempat itu. Setelah yakin Hassan yang datang mereka bertempik, “Allahu
Akbar ! Allahu Akbar !”
Suasana tiba-tiba bertukar menjadi
sedih dan terharu. Betapa jujurnya anak muda Hassan memegang janjinya
sekalipun nyawanya akan melayang. Sebaik turun dari kudanya, Hassan
mengadap tuan hakim dan berkata,
“Demi Allah, saya tidak berniat
untuk menempah kelewatan ini. Tali kuda saya putus di tengah padang
pasir. Puas saya usahakan mencari tali untuk menyambungnya.
Alhamdulillah, saya dapat dan selamat tiba ke sini, tuan hakim.”
Kemudian katanya lagi, “Sebelum saya dibunuh, izinkan saya bersembahyang
dua rakaat.”
Sayyidina Umar pun membenarkan. Dalam doa
akhirnya, Hassan berdoa: “Ya Allah, ampunkan keterlanjuranku di dunia
dan di Akhirat.”
Selesai menyapu muka, Hassan pun mengadap menyerahkan dirinya untuk menjalani hukuman bunuh.
Tetapi pada saat genting itu, tiba-tiba kedua-dua beradik anak si mati mengadap tuan hakim dan berkata,
“Kami telah menyaksikan kejujuran dan keikhlasan saudara Hassan dan
telah kami saksikan juga keberanian dan kasih sayang saudara Abu Zar.
Juga telah kami saksikan ketegasan dan keadilan Amirul Mukminin
menjalankan hukuman Allah. Hasilnya, kami memperolehi kekuatan untuk
meredhakan kematian ayah kami dengan memaafkan saudara kami Hassan.
Lepaskanlah saudara Hassan daripada hukuman, wahai Amirul Mukminin.”
Mendengar itu sekali lagi padang itu bergema dengan laungan,
“Allahu Akbar ! Allahu Akbar !”
Mereka semua bersyukur kerana terampunnya seorang saudara mereka dari hukuman di dunia dan di Akhirat, Insya-Allah.
#Banyak yang dapat kita pelajari dari peristiwa bersejarah itu. Dari
seorang tua yang berani mengaku salah hingga menemui kematian, kemudian
Hassan yang lebih berani mengakui kesalahannya dan menyerahkan diri
untuk dibunuh. Kemudian Abu Zar yang berjiwa sahabat dan sanggup mati
kerananya. Tuan hakim yang tegas dan adil. Akhir sekali dua beradik yang
berhati mulia merela dan memaafkan pembunuh ayah mereka. Dengan hati
yang beriman dan berkasih sayang, manusia di zaman sahabat telah menempa
satu sejarah yang agung. Dan dengan hati-hati yang beriman, mereka
telah berjaya mengangkat Islam setinggi-tingginya sesuai dengan
sifatnya. Dengan itu mereka bukan sahaja telah menguasai dunia, tetapi
sedang menikmati kesenangan dan kerehatan di Alam Barzakh dan akan Allah
anugerahkan Syurga. Itulah nasib orang yang bernama mukmin yang
sebenar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan